My Other Half and My Jewels

Monday, April 16, 2012

Dia......(sebuah coretan peribadi)

     Mula mengenali diri beliau hampir 15 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1997. Waktu itu saya baru setahun jagung berkhidmat di SMK Paka. Belum sah lantikan pun lagi. Ketika itu saya mengajar di sebelah petang. Rookie lagi katakan....Kedatangan beliau ke SMK Paka dengan gelaran Guru Pakar atau Guru Cemerlang Subjek Biologi. Jarang sekali waktu itu ada guru yang layak dilantik sebagai guru pakar.
     Perwatakan beliau sangat serius....jalan sentiasa tegap (masih lagi tegap pada umurnya sekarang), setiap tutur kata sentiasa bernas dan tegas.Banyak ilmu kependidikan. Memang saya secara peribadi sangat kagum dengan beliau. Saya lahir tahun 1971,beliau lahir 1956.....perbezaan umur 15 tahun. Namun beliau tidak pernah menjadikan usia sebagai penghalang. Sikap ramah beliau sangat ketara. Cuma sebagai orang baru dalam bidang pendidikan ketika itu, saya merasa amat kerdil .....berbanding dengan beliau.
     Saya selalu datang awal ke sekolah. Walaupun sekolah bermula 1.20 petang ketika itu, seawal pukul 12 atau 12.30 tengahari saya dah ada di sekolah. Waktu tu belum pandai bawa kereta sendiri. Minta tolong jiran untuk hantar, jadi kena awal.....jiran punya banyak urusan lewat tengahari. Bila sampai sekolah, selalu terserempak dengan beliau di kantin. Pernah suatu ketika....riuh bercerita pasal masak lemak cili api. Orang ni cerita pasal resipi dia, orang tu cerita pasal resipi dia....tiba-tiba beliau mencelah "Kak Sal kalau masak lemak cili api, masuk bawang merah....orang melaka tak letak bawang putih...." baru la saya tau rupanya beliau orang Melaka....
     Ilmu yang paling berguna yang saya perolehi dari beliau ialah ilmu pendekatan pembelajaran dalam p & p. Sehingga hari ini saya masih ingat kemahiran-kemahiran yang perlu diterapkan kepada pelajar semasa p & p. Sempat juga menimba ilmu sewaktu Kursus Dalam Perkhidmatan yang dianjurkan oleh sekolah ketika itu. Ketika itulah baru faham pendekatan-pendekatan KBKK, Pembelajaran Masteri, Pembelajaran Konstruktif dan lain-lain. Cara penyampaian beliau sangat jelas dan sangat mudah difahami.
     Khidmat beliau di SMK Paka ketika itu tidak lama kerana beliau berpindah ke SMK Sultan Omar. Sesekali bila beliau datang ke SMK Paka untuk mesyuarat, taklimat memang riuh mulut menegur. Macam kenal lama.
     Tidak sangka tahun 2012 saya dipertemukan lagi dengan beliau. Kali ini datangnya beliau sebagai Pengetua Cemerlang DG54. Pada awalnya hati berdebar juga....resah memikirkan apakah beliau masih sama seperti dulu. Apakah dengan jawatan hebat beliau sekarang, keramahan beliau akan terbatas. Kawan-kawan ada bertanya bagaimana dengan Pengetua baru nanti.....garang tak? Macam-macam persoalan bermain di kepala.
     Setelah kedatangan beliau pada tanggal 26 hb Februari 2012....semua persoalan telahpun terjawab. Bila lihat beliau menguntum senyum dari jauh, hati saya berkata....dia  masih seperti dulu....Seluruh warga SMK Paka menyambut kedatangan beliau dengan hati yang terbuka dan kami merasa amat bangga kerana bertuah menerima seorang tokoh pendidik seperti beliau. Namun, kami dikejutkan apabila tidak sampai 2 bulan berkhidmat di bumi Paka, beliau akan kembali ke kampung halaman beliau di Merlimau, Melaka setelah beliau menghabiskan hayat perkhidmatan perguruan selama 27 tahun di bumi Terengganu Darul Iman.
     Allah telah merencanakan kami (warga SMK Paka) akan kehilangan seorang Pengetua yang berkepimpinan dan bijaksana. Saya secara peribadi akan kehilangan seorang ketua jabatan, seorang pembimbing, seorang motivator, seorang kakak dan lebih-lebih lagi seorang sahabat....(airmata dah bergenang...).
     Buat Puan Hajjah Salmah Binti Mohd Tahar (Kal Sal), jasamu akan tetap saya kenang buat selamanya. Jutaan terima kasih dari hati atas segala tunjuk ajar dan nasihat. Perpisahan kali ini saya anggap bukan buat selamanya. Andai Allah izinkan pasti kita akan bertemu lagi. Semoga selamat kembali ke kampung halaman. Selamat meneruskan perkhidmatan di sekolah yang baru. Semoga hubungan silaturrahim antara kita tidak akan putus. Selamat keberangkatan........

Teman sepermainan di tengah laman,
Pakat bersama menunggang kuda,
Tautan kasih sepanjang zaman,
Sisihkan sengketa kiranya ada.

Tumbang punggur akar pun sekah,
Terkejut burung sedang makan,
Tersalah tutur tersilap tingkah,
Ampun dan maaf kami dambakan.

Pohon mempelam lebat berbuah,
Gugur sebiji di tepi tangga,
Kita bertemu akhirnya berpisah,
diizin Allah berjumpa jua.