My Other Half and My Jewels

Sunday, April 17, 2011

Word of the day is HEBAT!!!

      Hari ini Ahad, 17hb April 2011 merupakan hari pertama minggu ke 15 mengikut perkiraan minggu persekolahan bagi negeri Terengganu. Seperti yang lazimnya hari Ahad akan berlangsung satu acara rasmi mingguan iaitu Perhimpunan Rasmi Mingguan di Sekolah Menengah Kebangsaan Paka.
      Seperti biasa, para pengawas akan sibuk menyusun kerusi guru dan memastikan bilangannya cukup. Guru Pengawas yang bertugas pada setiap hari Ahad sepanjang bulan ini ialah Hajjah Rosnah Binti Abdullah. Beliau cukup teliti dalam urusan penguruskan pentas dengan bantuan pengawas kerana Pengetua telah memberi arahan lisan bahawa Badan Pengawas adalah merupakan STAGE MANAGER. Satu title yang sangat besar bagi kami yang 4, 5 kerat ini.
      Pengerusi Majlis @ Master of Ceremony (MC) pada hari ini ialah adik Aina Nabila Binti Kamal, pengawas yang bertugas dari tingkatan 3 KRK 1. Majlis dimulakan dengan bacaan ummul-kitab AL-FATIHAH. Seterusnya, majlis diteruskan lagi dengan nyanyian 3 buah lagu iaitu lagu Negaraku, lagu Selamat Sultan dan lagu Paka Cemerlang dengan iringan muzik. Hati saya selalu gementar melihat para pengawas menjalankan tugas menaikkan bendera kerana macam-macam hal boleh berlaku. Ada masa yang bendera tersangkut separuh jalan. Ada masa yang lagu dah habis bendera tak sampai ke hujungnya. Ada masa lagu belum habis bendara dah lama tiba di atas....Alhamdulillah, hari ini urusan menaikkan bendera lancar...


Bacaan Ikrar oleh Saudara Naim, Penolong Ketua Pelajar
     Tazkirah minggu ini disampaikan oleh Guru Kaunselor Cemerlang iaitu Puan Rohana Binti Saarani. Saya mungkin leka sewaktu tazkirah disampaikan tetapi yang saya dapat pada hari ini ialah bagaimana cara untuk pelajar menjadi pelajar yang HEBAT! Dengan laungan yang nyaring, Puan Rohana berjaya menarik perhatian pelajar-pelajar.

Guru Cemerlang Bimbingan dan Kaunseling
Puan Rohana Binti Saarani

Puan Siti Rizat menyampaikan laporan
     Diantara kandungan laporan guru bertugas minggu lepas (Puan Siti Rizat Binti Sulaiman) ialah berkenaan dengan keputusan MTQ yang diadakan pada hari Selasa di SMK Seri Rasau. Dalam acara Tilawah, Hafazan dan Syarahan, semua pelajar yang mewakili sekolah telah berjaya mendapat tempat samada Johan, Naib Johan dan tempat ketiga. HEBAT .....! KEHEBATAN juga terserlah pada hari Pertandingan Kawad Kaki Peringkat sekolah diadakan. Pasukan-pasukan kawad kaki sekolah samada kategori GO dan NGO telah mempamerkan kemahiran masing-masing melalui kawad asas dan juga kawad formasi. Semua unit telah mengambil bahagian walaupun ada unit yang berkawad tanpa ahli yang mencukupi. Ini membuktikan bahawa pelajar-pelajar SMKPaka adalah pelajar yang sanggup menyahut cabaran. Kategori GO dimenangi oleh Kadet Polis Wanita manakala Kategori NGO dimenangi oleh PPIM.
     Bagi slot pengurusan sekolah, Penolong Kanan HEM iaitu Encik Azman Bin Mohd Nor mengambil peluang untuk memuji semua pelajar atas kejayaan yang dicapai. Dalam ucapannya, beliau mengaitkan hasil kejayaan pelajar dengan kaedah untuk mencapainya iaitu mesti melakukan banyak latihan. Antara ayat yang dipakai ialah " pelajar sanggup datang untuk latihan kawad pada setiap hari. Bermula dari pukul 4 hingga 7 petang. Di tengah panas terik, hinggakan rambut lurus jadi kerinting." Dalam lawak sebenarnya ada maksud tersirat.....PK HEM berkata, begitu jugalah dalam segi akademik.....pelajar juga perlu HEBAT!


PK HEM yang HEBAT....

Dalam setandan pisang.....adalah yang seperti pelajar ini...
      Dalam pada semua bercakap pasal KEHEBATAN.....ada juga pelajar yang dipanggil oleh PK HEM untuk berdiri di depan perhimpunan. Ini pun HEBAT juga....HEBAT bercakap semasa perhimpunan sewaktu guru sedang bercakap di depan. Hmmm macam-macam.    

No comments:

Post a Comment